Sejahtera

Selangor  Serius Tangani Pemerdagangan Manusia
Gambar Diperolehi daripada :penyeludupanmanusia.blogspot.com
SHAH ALAM - Kerajaan Negeri Selangor memandang serius akan kegiatan jenayah pemerdagangan manusia yang semakin meningkat di Malaysia dan turut serius untuk menanganinya memandangkan insiden pemerdagangan manusia berlaku juga di sebahagian negeri Selangor.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi & Inovasi dan Kebudayaan Selangor, Rodziah Ismail berkata, pemerdagangan manusia merupakan jenayah yang memusnahkan maruah, kesihatan dan masa depan mangsanya, di samping menjejaskan ekonomi dan peluang-peluang pekerjaan rakyat sesebuah negeri.
“Keseriusan Kerajaan Negeri Selangor dalam usaha untuk menangani jenayah ini melibatkan tiga medan – pencegahan, perlindungan dan pendakwaan. Ketiga-tiga medan tersebut dijangka dapat mengurangkan kadar permerdagangan manusia. Ia memerlukan gabungan kefahaman masyarakat mengenainya, usaha-usaha melindungi mangsa dengan baik dan proses pendakwaan yang berkesan terhadap penjenayah perdagangan manusia,” ujar Rodziah.
Jelas Rodziah, Kerajaan Negeri juga telah menggariskan pelan tindakan yang khusus ke arah membanteras pemerdagangan manusia di Selangor.
“Langkah ini bermula dengan program-program penerangan dan advokasi kepada semua pihak berkepentingan di Selangor seperti Pihak Berkuasa Tempatan, persatuan penduduk, badan bukan kerajaan, pegawai perlindungan kebajikan dan masyarakat setempat,” kata beliau.
Menurutnya lagi, proses sosialisasi sedemikian adalah antara mekanisme yang berkesan dalam rangka mengajak masyarakat untuk bersama-sama membanteras pemerdagangan manusia di negeri Selangor.
“Bermula dengan Program Penerangan Anti Pemerdagangan Manusia Negeri Selangor yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Wanita Negeri Selangor dengan kerjasama WIRDA Selangor, Tenaganita dan NCWO baru-baru ini, usaha ini akan mula dipergiatkan ke arah anti pemerdagangan manusia di Selangor,” tambah beliau.
Sumber Diperolehi daripada : http://www.malaysiaharmoni.com

Kempen Tangani Gejala Arak Di Selangor
Gambar Diperolehi daripada :bpnjais.blogspot.com

Tuesday, 18 October 2011 | Ruangan: Berita
Oleh Naeem Raffi
SUBANG 18 OKTOBER : Bagi menangani masalah gejala arak serta kesannya terhadap masyarakat, Kerajaan Negeri Selangor mengambil inisiatif melancarkan kempen Pencegahan Arak dan Pelancaran Logo Anti Arak Peringkat Negeri Selangor 2011 di sini.
Exco Hal Ehwal Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali berkata usaha dan cabaran mendidik masyarakat berhubung kesan negatif pengambilan arak adalah tanggungjawab sesebuah kerajaan terhadap kebajikan dan kesejahteraan rakyatnya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media sebelum lancarkan kempen Pencegahan Arak dan Pelancaran Logo Anti Arak Peringkat Negeri Selangor 2011 di Plaza Tol Banadar Sunway.
“Ini adalah usaha penting di mana pemimpin bertemu rakyat, bagi menyatakan bahawa pengambilan arak adalah suatu perkara yang di kutuk oleh agama dan tidak diizinkan oleh enakmen jenayah 1995 di negeri Selangor ini,
“Tiada seorangpun manusia yang normal pemikirannya akan mengizinkan pengunaan arak ke atas keluarganya sama ada semasa memandu, waktu bekerja dan sebagainya,” katanya.
Mengulas lanjut, Dr Hasan yang juga ADUN Gombak Setia berharap kempen pencegahan arak ini dipanjangkan oleh ketua masyarakat, rumah-rumah ibadah seterusnya keperingkat anggota masyarakat sehingga matlamat masyarakat yang hidup tanpa pengaruh alkohol tercapai.
“Pelancaran di plaza tol hari ini adalah simbolik untuk bertemu dengan rakyat, kita akan meneruskan usaha ini ke universiti, pusat perniagaan, pasar tani dan pasar borong dan sebagainya untuk kita mendedahkan kepada orang ramai bertapa seriusnya pengambilan arak ini, ini adalah langkah penting bagi kita,” jelasnya.
Di Selangor pencegahan arak ini dilakukan dengan menguatkuasakan Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) tahun 1995.
Kesalahan meminum arak bagi orang Islam diperuntukan dalam Seksyen 18 (1) dan sekiranya sabit kesalahan, pesalah boleh dihukum denda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Kesalahan bagi orang yang membuat, menjual, menawarkan untuk jualan, mempamerkan untuk jualan, menyimpan atau membeli apa-apa minuman yang memabukkan diperuntukan dalam Seksyen 18(2) enakmen yang sama. Sabit kesalahan, pesalah boleh didenda tidak melebihi RM5000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Kempen ini melibatkan kerjasama pelbagai agensi agama, agensi kerajaan dan swasta.
Antaranya Polis Di-raja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
Sumber diperolehi daripada : http://www.selangorkini.com.my




‘Ops Selamat’ Dilaksana Pastikan Keselamatan Terjamin
Monday, 23 May 2011 | Ruangan: Berita
SHAH ALAM 23 Mei - Kerajaan Selangor  memandang serius  isu keselamatan dan kesejahteraan rakyat justeru akan melaksanakan operasi pemutihan yang namakan ‘Operasi Selangor Prihatin Masyarakat’ (OPS SELAMAT) bagi memastikan  tiada lagi nyawa yang terkorban disebabkan kelalaian dan tidak mengikuti peraturan yang ditetapkan.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi & Inovasi dan Kebudayaan Rodziah Ismail berkata Ops Selamat akan berlangsung dalam masa tiga bulan dari sekarang agar tidak berulangnya kejadian seperti  tanah runtuh yang berlaku di Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa di Batu 14, Hulu Langat pada 21 Mei lalu.
“Langkah ini akan dimulakan dengan mengeluarkan surat arahan kepada semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Pejabat Daerah di Selangor untuk mengenal pasti kewujudan dan lokasi rumah-rumah perlindungan dan kebajikan yang terdapat di negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan media.
Menurut beliau lagi rumah-rumah tersebut termasuk rumah anak yatim, rumah orang tua, rumah orang kelainan upaya (OKU), rumah ibu tunggal dan lain-lain rumah perlindungan dalam kategori kebajikan.
Langkah seterusnya ialah akan memeriksa sama ada semua rumah ini benar-benar mengikuti setiap peraturan yang telah ditetapkan oleh kerajaan.
Peraturan tersebut termasuk memiliki lesen-lesen khas seperti lesen premis dan layak menduduki  (CF) yang dikeluarkan oleh PBT, lesen perniagaan daripada Pendaftar Perniagaan dan lesen operasi daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Jika didapati masih ada rumah-rumah ini yang tidak memiliki lesen-lesen berkenaan, mereka diminta supaya segera berbuat demikian.
“Saya selaku EXCO Kebajikan Negeri Selangor akan mula menjalankan operasi pemutihan rumah-rumah perlindungan dan kebajikan yang terdapat di Selangor ,” katanya.
Pada masa yang sama, melalui ‘Ops Selamat’ juga Kerajaan Negeri Selangor melalui JKM Selangor akan mewujudkan Pusat Sehenti (One Stop Centre – OSC), bertujuan mengkoordinasi pengeluaran lesen-lesen yang dikeluarkan oleh PBT, ROS dan JKM sebelum diberikan kelulusan kepada pihak yang memohon.
“Saya berharap akhirnya melalui Ops Selamat ini semua rumah perlindungan dan kebajikan di negeri Selangor dikenalpasti status mereka,” katanya.
Sumber Diperolehi daripada: http://www.selangorkini.com.my/my/berita/32551
21 Julai 2011